ikrar warga kesihatan
> “IKRAR WARGA KESIHATAN
>
> Kami
> Warga kesihatan
> Tidak akan mengeluh
> Walau bekerja berhempas pulas
> 36 jam tanpa henti
> bagaikan seorang anjing
> walaupun menteri kami menidakkannya
> kerana beliau
> bukan warga kami.
>
> Kami
> Tidak akan bersungut
> Pabila muka kami terpercik darah,
> Nanah,
> mahupun air ketuban hijau.
>
> Kami
> Tetap membedah siasat
> mayat reput dan berulat
> demi keadilan si mati
> Walau keluarga menunggu di rumah mayat
> dengan pisau dan parang
> dan ahli politik.
>
> kami
> warga kesihatan
> tidak akan mengeluh
> menghadap kaki berkulat
> mengutip ulat langau daripada kudis
> mengorek najis daripada dubur manusia yang sembelit
> serta menghendap faraj berdarah,
> berlendir,
> bernanah hijau,
> mahupun mengorek lidi yang disumbat
> untuk menggugur janin.
>
> kami
> tidak akan bermogok
> walau kami dicemuh manusia yang tidak mengerti,
> juga di berita dan akhbar
> serta oleh orang yang sepatutnya
> membela nasib kami.
>
> Kami
> Akan sentiasa ikhlas merawat
> Walaupun ada ketika
> pesakit kami
> Lebih sihat daripada kami sendiri.
>
> Kami
> Akan sentiasa rela bergaduh
> Dengan ibu bapa
> Yang sanggup melihat bayinya terencat akal
> Daripada menerima rawatan
>
> (dan mereka akhirnya menyalahkan kami
> Kerana mental anak mereka kini terjejas
> sebab kedegilan mereka sendiri.)
>
> Kami akan sentiasa
> Menjaga ibu bapa yang tidak dipeduli anak
> Anak-anak yang tidak peduli ibu bapa
> Dan pesakit-pesakit mental yang tiada harapan sembuh
> sebab lambat rawatan
> kerana ibu bapa malu sekiranya anak mereka
> dilabel mental
> dan akhirnya mereka sendiri meminta
> anak-anak mereka ini
> dibuang jauh-jauh.
>
> Kami
> Akan sentiasa ikhlas
> Walau kami
> Tidak berpeluang makan dan minum
> Rehat dan mandi
> Dan bersembahyang lima waktu
> Demi kepentingan kerja.”
Leave a comment