1434
Agaknya sudah jauh kita daripada Rasullullah. Bayangkan sudah 1400 tahun jauh daripada Rasullullah? Bukan itu sahaja, ketika mendengar radio IKIM petang tadi, ada ustaz itu mengatakan jauhnya kita bukan main kepalang. Jauh dari segi ruang masa, jauh dari segi ruang waktu, jauh dari segi ruang geografi dan lebih menyedihkan kalau-kalau sudah jauh dari segi iman. Agaknya memang iman senipis helaian kulit bawang. Amat nipis.
Salam Maal Hijrah?
Kali ini kita cerita tentang hijrah hati. Hati-hati kita perlu berhati-hati. Sebab kita sudah jauh dengan Rasullullah. Pesanan yang amat penting buat kita adalah, kalau lupa atau sesat jalan cari balik al-quran dan sunnah. Lebihkan zikrullah dan jalankan shariat sebaik mungkin. Kalau sudah penat melayan kerenah dan mehnah duniawi sudah sampai masanya dunia ini ditinggalkan, dan jadikan malam-malam masa untuk beribadah dan beramal. Penat melihat dunia. Yang mati tetap mati. Yang hidup masih tidak mengerti mati. Yang bersama dengan orang mati tidak pernah pelajari erti hidup dan masih lagi merangkak-rangkak memahami mati.
Ustaz itu katakan lagi, kita mesti sentiasa dalam jemaah. Betul, orang berhijrah dengan dua cara, samada dari dalam ke luar atau luar ke dalam. Kita perlukan kekuatan iman dan kekuatan jemaah untuk menjadi yang terbaik. Umatan wasatan. Kita memerlukan keyakinan kepada Allah,keyakinan pada akhirat dan jauhkan cinta dengan dunia. Sudahlah dunia. Mengarut sahaja.
Apa aku pelajari lagi dari radio IKIM, ialah akhlak kepada Allah. Ya kita mestilah berakghlak kepada Allah. Senang dan mudah mencerminkan akhlak kepada manusia. Kerja keras sikit, puji sikit, senyum sikit, kita dikatakan sudah berakhlak. Bayangkan amat mudah memenangi hati manusia. Tetapi yang glebih penting, adalah menjaga akhlak dengan Allah. Bersikap ihsan walaupun sudah susah. Menjadi ikhlas bila dalam keadaan susah. Bersyukur bila senang dan bersabar ketika payah dan jerih.
Minggu ini juga belajar bahawa, sedekah dan jariah kepada isteri itu lebih baik dari menderma kepada orang lain. Ya betul. Menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab dan menjadi seorang suami yang terbaik untuk seorang isteri. Alhamdulillah, Allah memberikan petunjuk kepada aku. Semoga menjadi pengajaran kepada diri sendiri.
Leave a comment